Thursday, March 17, 2011

Belajarlah Menjadi Manusia Yang Prihatin

                                        Ini bukan suatu perkara yang boleh dipermain-mainkan


Musibah yang melanda negara Jepun tanggal 11 Mac 2011 bukanlah suatu perkara yang boleh dipermain-mainkan. Tiada  lawak jenaka yang sepatutnya mengiringi komen mengenai Tsunami yang dihadapi negara Jepun. Sewajarnya kita menjadi manusia yang prihatin, selain doa tanpa putus untuk warga sebenua Asia kita ini. Atau seharusnya kita patut menginsafi kebesaran Maha Esa, sesungguhnya kuasa Tuhan mengatasi segalanya. Siapalah kita di bumi yang fana ini untuk memberi komen yang hanya mengaib dan menjatuhkan air muka sendiri. Belajarlah menjadi insan yang lebih mempunyai sifat simpati, atau bertafakur sejenak, fikirkan sahaja kehilangan ribuan nyawa dan kehilangan atap bumbung untuk berteduh. Tidak perlu kita memberi komen mengenai impak ekonomi Jepun yang bakal bergoyang terhadap ekonomi kita. Ini kuasa Tuhan, siapa kita untuk mengetahui apa yang baik dan buruk. Tidak terbanding rasanya betapa hebatnya kesedaran sivik di kalangan warga Jepun berbanding warga Malaysia yang baru sahaja belajar menongkah arus. Kita harus belajar bagaimana hebatnya bangsa Jepun menghadapi tragedi yang menimpa. Tiada istilah berebut-rebut ketika mengisi air bersih untuk minuman atau belajar sahaja daripada mereka bagaimana tenangnya mereka menghadapi ancaman radiasi yang bakal melanda. Jarang sekali kita melihat gambar-gambar di mana mereka menangisi kehilangan yang berganda, yang kita lihat cuma wajah-wajah sayu penuh gelora tetapi cekal, seperti ingin dikatakan sesuatu- mereka bakal bangkit kembali dengan ujian Tuhan yang satu ini. Maka, tidak hairanlah sekiranya suatu ketika dahulu British juga mengaku kalah dengan Jepun atau Nippon semasa Malaya ditawan. Lihat sahaja kekuatan bangsa ini, sudah teruji bukan. Sesungguhnya, saya sangat muak dengan ungkapan -ungkapan seperti, " Nasib baik Malaysia jauh, tidak kena". Ingatlah, nasib kita belum tahu dan tentu lagi. Masih ingat tragedi Highland Towers? Jiran Asia kita inilah antara yang terawal datang menghulur bantuan. Nampaknya masih jauh lagi perjalanan kita menjadi sebuah negara maju, ini kerana warga kita kurang prihatin.....

No comments:

Post a Comment