Thursday, March 17, 2011

Hormatilah Guru....

Pelajar mahir kerana guru
                                             
Sudah lama hati saya terpanggil untuk menulis mengenai peranan guru. Tidak mengapa jika ada sesetengah guru dipandang hina atau dikeji buta-buta, saya tetap meletakkan guru di tempat teratas. Katalah apa sahaja mengenai guru, saya tetap akan mengatakan bukan semua orang boleh menjadi seorang guru. Guru hanya insan terpilih, yang sampai bila-bila tidak boleh diperlekehkan. Saya suka melihat budaya bangsa China (ini merujuk kepada Tanah Besar China),  tokoh pemikir mereka "Confucius"- insan penuh ilmu dan bijaksana. Tidak terjangkau dek akal mengenai sumbangan Confucius terhadap kemajuan dan tamadun negara China. Sehingga kini guru sangat disanjung di negara China. Saya pernah melihat gambar di mana anak-anak kecil seusia 9- 10 tahun membasuh kaki guru wanita sempena Hari Wanita di negara China baru-baru ini. Anda sanggup berbuat begitu di Malaysia? Tidak mungkin bukan. Ini kerana di Malaysia, begitu ramai guru yang dihina dan perlekehkan. Ada guru yang dipandang sebelah mata oleh anak didik dan ibu bapa sendiri. Belum dicampur lagi  blog oleh anak didik guru-guru ini yang menghina si pendidik dengan kata-kata kesat mengiringi setiap catatan. Sedih bukan... Saya tahu sebab saya membaca dan terbaca. Warga kita sangat buta ilmu, kita tidak pernah menghargai guru. Saya masih teringat guru-guru saya sewaktu pendidikan menengah atas di sebuah negeri yang terletak di selatan tanahair. Berbelas tahun yang lampau. Yang paling diingati guru Bahasa Melayu dan guru Matematik. Ya, guru Bahasa Melayu saya ialah seorang wanita berbangsa Cina.  Tetapi guru inilah yang telah menambahkan kecintaaan saya terhadap Bahasa Melayu, yang menyuburkan  minat terhadap bidang penulisan. Ya, saya telah mula menulis sejak usia 15 tahun lagi. Karya saya pernah tersiar di media cetak. Puisi saya juga pernah diselitkan di dalam  sebuah antologi. Ada juga puisi saya yang telah menang tempat pertama di peringkat negeri.  Semuanya ini bermula kerana siapa. Kerana guru saya. Guru saya juga yang telah memberikan kata-kata semangat di kala hati seperti mahu menyerah kalah lewat dugaan hebat zaman remaja. Kerana guru jugalah, saya berada di sini, pada hari ini. Guru saya sangat ikhlas mendidik dan meniupkan azam dan semangat juang yang tinggi. Tidak tergambar rasanya jasa guru  terhadap saya sehingga ke hari ini. Itulah sebabnya saya sangat tidak bersetuju apabila guru masuk gelanggang politik atau sibuk mengiringi si isteri berkempen. Kasihannya anak-anak murid di sekolah. Oh ya, mungkin juga saya sudah lupa- tugas guru tidak lagi dipandang mulia. Tidak mengapa, katalah apa sahaja, saya tetap mengatakan guru itu hebat, kerana guru saya suatu  ketika dulu sangat hebat...

No comments:

Post a Comment