Tuesday, April 26, 2011

Rasuah jaminan hidup ?

Wang dihulur tanda kerjasama sepakat !?


Semua orang perlukan wang ringgit dalam kehidupan

Kereta mewah idaman semua




Di dalam kehidupan seharian, pasti kita pernah bermimpi untuk menjadi mewah. Kita sangat taksub untuk menjadi kaya. Skim cepat kaya, jualan langsung, pelaburan hartanah, apa jua skim untuk menjadi kaya pasti mendapat sambutan hangat warga Malaysia. Ini belum lagi  dibuat perangkaan rasmi kaum Melayu yang terjebak dengan pelbagai skim menambah pelaburan. Kerana taksubnya kita untuk menjadi kaya, rasuah menjadi inti  pati hidup kita. Saya menggeleng kepala membaca kes-kes yang melibatkan penjawat-penjawat awam yang didakwa mengambil rasuah. Rasuah sudah menjadi darah daging sebilangan kakitangan kerajaan. Bukan semua tetapi segilintir insan yang sangat tamak dengan harta dunia telah mencalarkan maruah, integriti dan kredibiliti 1.2 juta penjawat awam secara keseleruhannya. (Jumlah penjawat awam untuk Tahun 2010) Apabila kes-kes yang melibatkan penjawat awam terpampang di dada akhbar, ia adalah insiden yang sangat memalukan. Malaysia belum lagi mampu ke tahap negara maju jika kakitangan kerajaan sendiri membuat onar di dalam perkhidmatan awam. Itulah sebabnya,  negara kita penuh dengan imigran asing yang datang secara tidak sah. Ini kerana ada insan yang bersetongkol dengan manusia yang tidak bertanggungjawab. Mereka ini saya sifatkan sebagai manusia yang tamak haloba, tidak takut Tuhan dan gemar merompak hasil negara. Tiada jalan mudah untuk menjadi kaya kecuali  berusaha kuat. Tidak perlu mengambil rasuah untuk menyara anak isteri jika sumbernya jelas haram. Jadilah manusia yang bertanggungjawab, memang tiada siapa melihat kita mengambil rasuah, tetapi Tuhan nampak segalanya. Hidup cuma sementara, harta dunia ke mana kita hendak bawa? Tepuk dada, tanya selera....

Thursday, March 17, 2011

Bangsa Kita Tidak Suka Buku Dan Ilmu

Ilmu itu pelita hidup
                                                       

Kedai  Buku- destinasi terakhir?



Kita bukanlah bangsa yang sangat menghargai buku dan ilmu. Saya katakan begini kerana, kita sangat suka membuat kitar semula buku dan majalah. Saya tidak faham mengapa ini terjadi. Seperti kita letakkan ilmu di dalam tong sampah, yang boleh dicarik-carik, dan dijadikan bahan untuk dijadikan kertas kitar semula dan dijual dengan harga yang tinggi. Kita bangsa yang tidak tahu menghargai isi penting sesebuah majalah atau buku. Ini bukan majalah URTV atau Mangga yang sewajarnya kita kitar semula. Tetapi majalah URTV pun mesti dilihat dulu isi kandungannya, kerana pada waktu dahulu, majalah URTVlah  yang menyiarkan karikatur nukilan Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad. Saya rasa amat sukar mencari insan seni seperti Sudirman. Maka, karikatur nukilan Allahyarham di dalam majalah URTV suatu ketika dahulu adalah satu nilai seni. Apabila orangnya sudah tiada, baru kita tercari-cari. Tetapi mungkin kita sudah menjual  URTV tersebut kepada tauke lori yang membeli bahan kitar semula. Anak-anak kecil, kita tidak hadiahkan dengan buku dan majalah yang berguna, tetapi kita belikan PSP atau telefon canggih. Kita tidak mengajar warga kecil betapa tingginya nilai imu di sebalik majalah dan buku. Maka jadilah kita bangsa yang tidak suka membaca, kita layari internet untuk berita mutakhir kerana kita malas untuk menyelak halaman surat khabar. Kita benci membaca akhbar untuk mengetahui berita dunia, maka anak-anak kita tidak mengenal siapa itu Barrack Obama, siapa isterinya ataupun apa sebab terjadinya Tsunami di Jepun. Jangan terkejut Perdana Menteri Malaysia kini pun anak-anak kita di sekolah tidak tahu.  Saya katakan begini kerana jarang benar kita membeli buku, kita ambil mudah segala benda- kita malas membaca, itulah juga penyebab mengapa buku-buku Bahasa Inggeris kurang diterjemahkan. Bahasa yang kita gunakan juga penuh dengan singkatan, slanga dan entah apa-apa isinya. Bahasa sangat mencerminkan bangsa. Bahasa yang penuh ilmu ialah bahasa yang disanjung tinggi, penuh dengan kata-kata sopan dan membuatkan kita berfikir. Bahasa yang kita gunakan datangnya daripada buku dan majalah yang kita baca. Apabila di dalam rumah, sejak kecil, kita tiada kecintaan ilmu terhadap buku dan majalah, jadilah kita insan yang tidak menghormati ilmu, kita fikir kita sudah pandai- sehingga kita lupa untuk membaca. Maaf,  layari internet atau carian google itu bukan takrifan untuk "membaca", "membaca" maksudnya mengamati dan berfikir tentang buku dan ilmu yang didapati. Didiklah anak kita dengan kecintaan ilmu dan buku, agar apabila mereka dewasa kelak, mereka tidak menjadi insan yang dengan rela hati dan bangga ke tempat kitar semula, mengatakan mereka telah melakukan sesuatu untuk alam sekitar. Tetapi malangnya, bukan kertas atau bahan buangan yang dikendong, tetapi buku dan majalah yang penuh ilmu. Sungguh kasihan, bukan?

Hormatilah Guru....

Pelajar mahir kerana guru
                                             
Sudah lama hati saya terpanggil untuk menulis mengenai peranan guru. Tidak mengapa jika ada sesetengah guru dipandang hina atau dikeji buta-buta, saya tetap meletakkan guru di tempat teratas. Katalah apa sahaja mengenai guru, saya tetap akan mengatakan bukan semua orang boleh menjadi seorang guru. Guru hanya insan terpilih, yang sampai bila-bila tidak boleh diperlekehkan. Saya suka melihat budaya bangsa China (ini merujuk kepada Tanah Besar China),  tokoh pemikir mereka "Confucius"- insan penuh ilmu dan bijaksana. Tidak terjangkau dek akal mengenai sumbangan Confucius terhadap kemajuan dan tamadun negara China. Sehingga kini guru sangat disanjung di negara China. Saya pernah melihat gambar di mana anak-anak kecil seusia 9- 10 tahun membasuh kaki guru wanita sempena Hari Wanita di negara China baru-baru ini. Anda sanggup berbuat begitu di Malaysia? Tidak mungkin bukan. Ini kerana di Malaysia, begitu ramai guru yang dihina dan perlekehkan. Ada guru yang dipandang sebelah mata oleh anak didik dan ibu bapa sendiri. Belum dicampur lagi  blog oleh anak didik guru-guru ini yang menghina si pendidik dengan kata-kata kesat mengiringi setiap catatan. Sedih bukan... Saya tahu sebab saya membaca dan terbaca. Warga kita sangat buta ilmu, kita tidak pernah menghargai guru. Saya masih teringat guru-guru saya sewaktu pendidikan menengah atas di sebuah negeri yang terletak di selatan tanahair. Berbelas tahun yang lampau. Yang paling diingati guru Bahasa Melayu dan guru Matematik. Ya, guru Bahasa Melayu saya ialah seorang wanita berbangsa Cina.  Tetapi guru inilah yang telah menambahkan kecintaaan saya terhadap Bahasa Melayu, yang menyuburkan  minat terhadap bidang penulisan. Ya, saya telah mula menulis sejak usia 15 tahun lagi. Karya saya pernah tersiar di media cetak. Puisi saya juga pernah diselitkan di dalam  sebuah antologi. Ada juga puisi saya yang telah menang tempat pertama di peringkat negeri.  Semuanya ini bermula kerana siapa. Kerana guru saya. Guru saya juga yang telah memberikan kata-kata semangat di kala hati seperti mahu menyerah kalah lewat dugaan hebat zaman remaja. Kerana guru jugalah, saya berada di sini, pada hari ini. Guru saya sangat ikhlas mendidik dan meniupkan azam dan semangat juang yang tinggi. Tidak tergambar rasanya jasa guru  terhadap saya sehingga ke hari ini. Itulah sebabnya saya sangat tidak bersetuju apabila guru masuk gelanggang politik atau sibuk mengiringi si isteri berkempen. Kasihannya anak-anak murid di sekolah. Oh ya, mungkin juga saya sudah lupa- tugas guru tidak lagi dipandang mulia. Tidak mengapa, katalah apa sahaja, saya tetap mengatakan guru itu hebat, kerana guru saya suatu  ketika dulu sangat hebat...

Belajarlah Menjadi Manusia Yang Prihatin

                                        Ini bukan suatu perkara yang boleh dipermain-mainkan


Musibah yang melanda negara Jepun tanggal 11 Mac 2011 bukanlah suatu perkara yang boleh dipermain-mainkan. Tiada  lawak jenaka yang sepatutnya mengiringi komen mengenai Tsunami yang dihadapi negara Jepun. Sewajarnya kita menjadi manusia yang prihatin, selain doa tanpa putus untuk warga sebenua Asia kita ini. Atau seharusnya kita patut menginsafi kebesaran Maha Esa, sesungguhnya kuasa Tuhan mengatasi segalanya. Siapalah kita di bumi yang fana ini untuk memberi komen yang hanya mengaib dan menjatuhkan air muka sendiri. Belajarlah menjadi insan yang lebih mempunyai sifat simpati, atau bertafakur sejenak, fikirkan sahaja kehilangan ribuan nyawa dan kehilangan atap bumbung untuk berteduh. Tidak perlu kita memberi komen mengenai impak ekonomi Jepun yang bakal bergoyang terhadap ekonomi kita. Ini kuasa Tuhan, siapa kita untuk mengetahui apa yang baik dan buruk. Tidak terbanding rasanya betapa hebatnya kesedaran sivik di kalangan warga Jepun berbanding warga Malaysia yang baru sahaja belajar menongkah arus. Kita harus belajar bagaimana hebatnya bangsa Jepun menghadapi tragedi yang menimpa. Tiada istilah berebut-rebut ketika mengisi air bersih untuk minuman atau belajar sahaja daripada mereka bagaimana tenangnya mereka menghadapi ancaman radiasi yang bakal melanda. Jarang sekali kita melihat gambar-gambar di mana mereka menangisi kehilangan yang berganda, yang kita lihat cuma wajah-wajah sayu penuh gelora tetapi cekal, seperti ingin dikatakan sesuatu- mereka bakal bangkit kembali dengan ujian Tuhan yang satu ini. Maka, tidak hairanlah sekiranya suatu ketika dahulu British juga mengaku kalah dengan Jepun atau Nippon semasa Malaya ditawan. Lihat sahaja kekuatan bangsa ini, sudah teruji bukan. Sesungguhnya, saya sangat muak dengan ungkapan -ungkapan seperti, " Nasib baik Malaysia jauh, tidak kena". Ingatlah, nasib kita belum tahu dan tentu lagi. Masih ingat tragedi Highland Towers? Jiran Asia kita inilah antara yang terawal datang menghulur bantuan. Nampaknya masih jauh lagi perjalanan kita menjadi sebuah negara maju, ini kerana warga kita kurang prihatin.....

Wang Seperti Tiada Nilainya








Semua orang perlukan wang ringgit di dalam kehidupan

Makanan- hak asasi manusia


Semua orang memerlukan makanan. Boleh dikatakan juga makanan adalah hak asasi setiap insan. Tetapi pada zaman yang serba mencabar kini, wang ringgit seperti tiada nilainya. Mengapa dan kenapa? Pasti kerana inflasi sudah melambung naiknya. Apabila inflasi meningkat, nilai wang ringgit juga semakin rendah. Sekiranya sepuluh tahun  yang lepas, kita boleh membeli pelbagai jenis barangan pada jumlah RM50.00. Kini nilai RM50.00 seumpama RM 10.00 sahaja. Tiada lagi istilah bermewah-mewah dengan wang berjumlah RM50.00. Harga makanan juga mencanak naik. Apa agaknya nilai gaji bulanan  seorang bapa yang hanya  berjumlah RM1000.00 bagi sebuah keluarga dengan  5 orang ahli, ibu pula tidak bekerja, terutamanya di bandar kosmopolitan seperti Kuala Lumpur atau Johor Bahru. Perit bukan? Bagi yang bergaji besar, dengan sisa baki RM 4000.00 setelah ditolak segala hutang piutang, anda mungkin di zon selesa, tetapi untuk pekerja kilang dengan baki di tangan RM500.00 setiap bulan, mungkin bagai pecah kepala mahu dicari wang saku yang lebih. Mengapakah di negara kita, inflasi begitu tinggi, dan harga makanan naik tanpa kawalan pihak yang berkuasa. Saya sesungguhnya tiada  jawapannya. Anda bagaimana?

Tuesday, January 11, 2011

Bila Haram Jadi Halal, Halal Jadi Haram



Terfikir sejenak, tidak pasti bagaimana hendak saya nilaikan keadaan di bumi Malaysia ini. Yang saya hampir pasti ialah, ramai sungguh manusia yang begitu bijak mentafsir ayat-ayat Al-Quran demi menghalalkan sesuatu yang haram. Yang haram semememangnya tetap haram, tetapi kenapa harus kita melawan hukum Allah. Lelaki pasangannya wanita, wanita pasangannya lelaki. Namun mutakhir ini, semakin ramai pasangannya adalah sejantina. Sudah banyak kali saya terserempak dengan insiden di mana wanita yang elok pakaiannya (bertudung) pasangannya juga wanita berpakaian seperti lelaki ( tubuh badan - flat-chested di dalam Bahasa Inggeris). Yang "lelaki" selalunya bertopi, berseluar jeans dan berkemeja lelaki. Tetapi air muka "lelaki" tersebut dalam pandangan mata saya sememangnya seorang wanita. Terhiris hati saya melihat insiden ini. Itu belum lagi dengan pasangan sejantina lelaki yang cuba mengaburi pandangan masyarakat dengan tidak menunjukkan kemesraan di depan khalayak. Manusia akhir zaman.....
      Saya tidak kisah digelar katak di bawah tempurung, kononnya tidak "sporting". Tetapi saya hanya seorang manusia yang sangat takut dengan keadaan sekeliling apabila manusia melawan hukum alam. Saya sangat takut melihat keterbukaan masyarakat dengan blog-blog membincangkan isu ini, belum lagi ditambah dengan pandangan penulis-penulis terkenal menyokong kebebasan memilih pasangan sejantina ( boleh dirujuk akhbar-akhbar Bahasa Inggeris seperti The Star). Ada sesetengah blog sempat mentafsirkan ayat Al-Quran bagi menyokong tindakan tersebut. Maaf, saya bukan seorang yang layak untuk mentafsir ayat Al-Quran, saya juga amat takut menyatakan perkara haram itu boleh dikatakan halal, sedangkan di dalam Al-Quran sendiri sudah dinyatakan ia tetap haram. Suka saya petik, tulisan Datuk Harussani Zakaria , Mufti Perak di dalam Mingguan Malaysia 9 Januari 2011 yang lalu, " Tidak dinafikan pada hari ini, bahawa dalam dunia hari ini Islam hidup bersama-sama dengan agama-agama lain yang pelbagai. Namun bagi umat Islam menganggap semua agama itu memiliki kebenaran yang sama saja, adalah salah. Kita umat Islam wajib berpegang teguh dengan firman Allah SWT dalam surah al-Imran: 19: 'Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam'. Umat Islam wajib berpegang, hanya Islam yang dapat membawa manusia ke jalan yang benar dan lurus seperti dikehendaki oleh Allah SWT".
    

Monday, January 10, 2011

Ada Apa Dengan Interlok?


Utusan Malaysia hari ini- Air Mata Sasterawan. Sila rujuk Utusan Malaysia Online - Berita Utama. Saya sangat tersentuh melihat tajuk muka hadapan Utusan pada hari ni. Sesungguhnya air mata  sasterawan ini sangat berharga. Datuk Abdullah Hussain bukan satu nama kerdil di dalam dunia sastera Malaysia. Lihat sahaja pada usianya. Pejuang bahasa dan bangsa ini tidak sewajarnya dimomokkan di dalam kancah politik picisan, juga tidak layak digelar Sasterawan Bodoh.  Lantas saya membuat keputusan untuk menulis tentang isu ini dan buat pertama kalinya menulis di dalam Bahasa Melayu. Saya berasa sangat sedih melihat kedangkalan mereka yang terlibat di dalam isu ini, ahli politik yang tidak membuat kajian yang meminta Interlok dipinda, diharamkan, diubahsuai dan masyarakat yang buta ilmu dan sejarah. Setelah 40 tahun novel Interlok dianggap sebagai karya hebat sasterawan ini, hari ini novel ini direndahkan martabatnya-dengan dibakar mentah-mentah.
    Kecewa saya apabila melihat gambar di dalam akhbar Mingguan Malaysia. Terimalah hakikat wahai rakyat Malaysia bahawa sejarah tidak boleh diubah, seperti mana kaum Melayu yang dikategorikan sebagai  kaum petani dan nelayan oleh penjajah British, seperti mana Melaka dijajah oleh  Portugis kerana kealpaan dan kelemahan sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Semua ahli masyarakat yang celik ilmu harus membuka mata, pelajar Tingkatan 5 harus didedahkan dengan isu yang mencabar minda, tidak sedihkah kita melihat karangan Bahasa Melayu pelajar Tingkatan 5 sekarang? Karangan Bahasa Melayu yang penuh dengan singkatan ayat sms dan dicampur adukkan dengan perkataan Bahasa Inggeris. Tanyalah mana-mana guru Bahasa Melayu yang mengajar Tingkatan 5 sekarang, berapa ramai pelajar yang melanggan Dewan Masyarakat atau Dewan Siswa? Berapa ramai lagi pelajar yang mengenal siapa itu Arenawati, A. Samad Said, Azizi Abdullah mahupun Khadijah Hashim, Adibah Amin ataupun penulis era 80an dan 90an seperti Tuan Faridah Syed Abdullah dan Faisal Tehrani. Dalam ledakan dunia maya, di mana buku cerita dan novel tidak lagi menjadi pilihan, Facebook dan Twitter menjadi santapan harian pelajar, mutu penulisan pelajar juga sangat mengecewakan. Akhir kalam, saya menyimpulkan  bahawa tindakan membakar sebuah karya hebat ialah tindakan yang biadap dan tidak bijak. Maka siapa yang bodoh di dalam isu ini? (maaf digunakan perkataan "bodoh"). Sama-sama kita renungkan.