Tuesday, January 11, 2011

Bila Haram Jadi Halal, Halal Jadi Haram



Terfikir sejenak, tidak pasti bagaimana hendak saya nilaikan keadaan di bumi Malaysia ini. Yang saya hampir pasti ialah, ramai sungguh manusia yang begitu bijak mentafsir ayat-ayat Al-Quran demi menghalalkan sesuatu yang haram. Yang haram semememangnya tetap haram, tetapi kenapa harus kita melawan hukum Allah. Lelaki pasangannya wanita, wanita pasangannya lelaki. Namun mutakhir ini, semakin ramai pasangannya adalah sejantina. Sudah banyak kali saya terserempak dengan insiden di mana wanita yang elok pakaiannya (bertudung) pasangannya juga wanita berpakaian seperti lelaki ( tubuh badan - flat-chested di dalam Bahasa Inggeris). Yang "lelaki" selalunya bertopi, berseluar jeans dan berkemeja lelaki. Tetapi air muka "lelaki" tersebut dalam pandangan mata saya sememangnya seorang wanita. Terhiris hati saya melihat insiden ini. Itu belum lagi dengan pasangan sejantina lelaki yang cuba mengaburi pandangan masyarakat dengan tidak menunjukkan kemesraan di depan khalayak. Manusia akhir zaman.....
      Saya tidak kisah digelar katak di bawah tempurung, kononnya tidak "sporting". Tetapi saya hanya seorang manusia yang sangat takut dengan keadaan sekeliling apabila manusia melawan hukum alam. Saya sangat takut melihat keterbukaan masyarakat dengan blog-blog membincangkan isu ini, belum lagi ditambah dengan pandangan penulis-penulis terkenal menyokong kebebasan memilih pasangan sejantina ( boleh dirujuk akhbar-akhbar Bahasa Inggeris seperti The Star). Ada sesetengah blog sempat mentafsirkan ayat Al-Quran bagi menyokong tindakan tersebut. Maaf, saya bukan seorang yang layak untuk mentafsir ayat Al-Quran, saya juga amat takut menyatakan perkara haram itu boleh dikatakan halal, sedangkan di dalam Al-Quran sendiri sudah dinyatakan ia tetap haram. Suka saya petik, tulisan Datuk Harussani Zakaria , Mufti Perak di dalam Mingguan Malaysia 9 Januari 2011 yang lalu, " Tidak dinafikan pada hari ini, bahawa dalam dunia hari ini Islam hidup bersama-sama dengan agama-agama lain yang pelbagai. Namun bagi umat Islam menganggap semua agama itu memiliki kebenaran yang sama saja, adalah salah. Kita umat Islam wajib berpegang teguh dengan firman Allah SWT dalam surah al-Imran: 19: 'Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam'. Umat Islam wajib berpegang, hanya Islam yang dapat membawa manusia ke jalan yang benar dan lurus seperti dikehendaki oleh Allah SWT".
    

Monday, January 10, 2011

Ada Apa Dengan Interlok?


Utusan Malaysia hari ini- Air Mata Sasterawan. Sila rujuk Utusan Malaysia Online - Berita Utama. Saya sangat tersentuh melihat tajuk muka hadapan Utusan pada hari ni. Sesungguhnya air mata  sasterawan ini sangat berharga. Datuk Abdullah Hussain bukan satu nama kerdil di dalam dunia sastera Malaysia. Lihat sahaja pada usianya. Pejuang bahasa dan bangsa ini tidak sewajarnya dimomokkan di dalam kancah politik picisan, juga tidak layak digelar Sasterawan Bodoh.  Lantas saya membuat keputusan untuk menulis tentang isu ini dan buat pertama kalinya menulis di dalam Bahasa Melayu. Saya berasa sangat sedih melihat kedangkalan mereka yang terlibat di dalam isu ini, ahli politik yang tidak membuat kajian yang meminta Interlok dipinda, diharamkan, diubahsuai dan masyarakat yang buta ilmu dan sejarah. Setelah 40 tahun novel Interlok dianggap sebagai karya hebat sasterawan ini, hari ini novel ini direndahkan martabatnya-dengan dibakar mentah-mentah.
    Kecewa saya apabila melihat gambar di dalam akhbar Mingguan Malaysia. Terimalah hakikat wahai rakyat Malaysia bahawa sejarah tidak boleh diubah, seperti mana kaum Melayu yang dikategorikan sebagai  kaum petani dan nelayan oleh penjajah British, seperti mana Melaka dijajah oleh  Portugis kerana kealpaan dan kelemahan sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Semua ahli masyarakat yang celik ilmu harus membuka mata, pelajar Tingkatan 5 harus didedahkan dengan isu yang mencabar minda, tidak sedihkah kita melihat karangan Bahasa Melayu pelajar Tingkatan 5 sekarang? Karangan Bahasa Melayu yang penuh dengan singkatan ayat sms dan dicampur adukkan dengan perkataan Bahasa Inggeris. Tanyalah mana-mana guru Bahasa Melayu yang mengajar Tingkatan 5 sekarang, berapa ramai pelajar yang melanggan Dewan Masyarakat atau Dewan Siswa? Berapa ramai lagi pelajar yang mengenal siapa itu Arenawati, A. Samad Said, Azizi Abdullah mahupun Khadijah Hashim, Adibah Amin ataupun penulis era 80an dan 90an seperti Tuan Faridah Syed Abdullah dan Faisal Tehrani. Dalam ledakan dunia maya, di mana buku cerita dan novel tidak lagi menjadi pilihan, Facebook dan Twitter menjadi santapan harian pelajar, mutu penulisan pelajar juga sangat mengecewakan. Akhir kalam, saya menyimpulkan  bahawa tindakan membakar sebuah karya hebat ialah tindakan yang biadap dan tidak bijak. Maka siapa yang bodoh di dalam isu ini? (maaf digunakan perkataan "bodoh"). Sama-sama kita renungkan.