Monday, January 10, 2011

Ada Apa Dengan Interlok?


Utusan Malaysia hari ini- Air Mata Sasterawan. Sila rujuk Utusan Malaysia Online - Berita Utama. Saya sangat tersentuh melihat tajuk muka hadapan Utusan pada hari ni. Sesungguhnya air mata  sasterawan ini sangat berharga. Datuk Abdullah Hussain bukan satu nama kerdil di dalam dunia sastera Malaysia. Lihat sahaja pada usianya. Pejuang bahasa dan bangsa ini tidak sewajarnya dimomokkan di dalam kancah politik picisan, juga tidak layak digelar Sasterawan Bodoh.  Lantas saya membuat keputusan untuk menulis tentang isu ini dan buat pertama kalinya menulis di dalam Bahasa Melayu. Saya berasa sangat sedih melihat kedangkalan mereka yang terlibat di dalam isu ini, ahli politik yang tidak membuat kajian yang meminta Interlok dipinda, diharamkan, diubahsuai dan masyarakat yang buta ilmu dan sejarah. Setelah 40 tahun novel Interlok dianggap sebagai karya hebat sasterawan ini, hari ini novel ini direndahkan martabatnya-dengan dibakar mentah-mentah.
    Kecewa saya apabila melihat gambar di dalam akhbar Mingguan Malaysia. Terimalah hakikat wahai rakyat Malaysia bahawa sejarah tidak boleh diubah, seperti mana kaum Melayu yang dikategorikan sebagai  kaum petani dan nelayan oleh penjajah British, seperti mana Melaka dijajah oleh  Portugis kerana kealpaan dan kelemahan sistem pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka. Semua ahli masyarakat yang celik ilmu harus membuka mata, pelajar Tingkatan 5 harus didedahkan dengan isu yang mencabar minda, tidak sedihkah kita melihat karangan Bahasa Melayu pelajar Tingkatan 5 sekarang? Karangan Bahasa Melayu yang penuh dengan singkatan ayat sms dan dicampur adukkan dengan perkataan Bahasa Inggeris. Tanyalah mana-mana guru Bahasa Melayu yang mengajar Tingkatan 5 sekarang, berapa ramai pelajar yang melanggan Dewan Masyarakat atau Dewan Siswa? Berapa ramai lagi pelajar yang mengenal siapa itu Arenawati, A. Samad Said, Azizi Abdullah mahupun Khadijah Hashim, Adibah Amin ataupun penulis era 80an dan 90an seperti Tuan Faridah Syed Abdullah dan Faisal Tehrani. Dalam ledakan dunia maya, di mana buku cerita dan novel tidak lagi menjadi pilihan, Facebook dan Twitter menjadi santapan harian pelajar, mutu penulisan pelajar juga sangat mengecewakan. Akhir kalam, saya menyimpulkan  bahawa tindakan membakar sebuah karya hebat ialah tindakan yang biadap dan tidak bijak. Maka siapa yang bodoh di dalam isu ini? (maaf digunakan perkataan "bodoh"). Sama-sama kita renungkan.

No comments:

Post a Comment