Thursday, March 17, 2011

Bangsa Kita Tidak Suka Buku Dan Ilmu

Ilmu itu pelita hidup
                                                       

Kedai  Buku- destinasi terakhir?



Kita bukanlah bangsa yang sangat menghargai buku dan ilmu. Saya katakan begini kerana, kita sangat suka membuat kitar semula buku dan majalah. Saya tidak faham mengapa ini terjadi. Seperti kita letakkan ilmu di dalam tong sampah, yang boleh dicarik-carik, dan dijadikan bahan untuk dijadikan kertas kitar semula dan dijual dengan harga yang tinggi. Kita bangsa yang tidak tahu menghargai isi penting sesebuah majalah atau buku. Ini bukan majalah URTV atau Mangga yang sewajarnya kita kitar semula. Tetapi majalah URTV pun mesti dilihat dulu isi kandungannya, kerana pada waktu dahulu, majalah URTVlah  yang menyiarkan karikatur nukilan Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad. Saya rasa amat sukar mencari insan seni seperti Sudirman. Maka, karikatur nukilan Allahyarham di dalam majalah URTV suatu ketika dahulu adalah satu nilai seni. Apabila orangnya sudah tiada, baru kita tercari-cari. Tetapi mungkin kita sudah menjual  URTV tersebut kepada tauke lori yang membeli bahan kitar semula. Anak-anak kecil, kita tidak hadiahkan dengan buku dan majalah yang berguna, tetapi kita belikan PSP atau telefon canggih. Kita tidak mengajar warga kecil betapa tingginya nilai imu di sebalik majalah dan buku. Maka jadilah kita bangsa yang tidak suka membaca, kita layari internet untuk berita mutakhir kerana kita malas untuk menyelak halaman surat khabar. Kita benci membaca akhbar untuk mengetahui berita dunia, maka anak-anak kita tidak mengenal siapa itu Barrack Obama, siapa isterinya ataupun apa sebab terjadinya Tsunami di Jepun. Jangan terkejut Perdana Menteri Malaysia kini pun anak-anak kita di sekolah tidak tahu.  Saya katakan begini kerana jarang benar kita membeli buku, kita ambil mudah segala benda- kita malas membaca, itulah juga penyebab mengapa buku-buku Bahasa Inggeris kurang diterjemahkan. Bahasa yang kita gunakan juga penuh dengan singkatan, slanga dan entah apa-apa isinya. Bahasa sangat mencerminkan bangsa. Bahasa yang penuh ilmu ialah bahasa yang disanjung tinggi, penuh dengan kata-kata sopan dan membuatkan kita berfikir. Bahasa yang kita gunakan datangnya daripada buku dan majalah yang kita baca. Apabila di dalam rumah, sejak kecil, kita tiada kecintaan ilmu terhadap buku dan majalah, jadilah kita insan yang tidak menghormati ilmu, kita fikir kita sudah pandai- sehingga kita lupa untuk membaca. Maaf,  layari internet atau carian google itu bukan takrifan untuk "membaca", "membaca" maksudnya mengamati dan berfikir tentang buku dan ilmu yang didapati. Didiklah anak kita dengan kecintaan ilmu dan buku, agar apabila mereka dewasa kelak, mereka tidak menjadi insan yang dengan rela hati dan bangga ke tempat kitar semula, mengatakan mereka telah melakukan sesuatu untuk alam sekitar. Tetapi malangnya, bukan kertas atau bahan buangan yang dikendong, tetapi buku dan majalah yang penuh ilmu. Sungguh kasihan, bukan?

No comments:

Post a Comment